comscore
Tumpuan :
Nasional

Penyampaian dakwah silang budaya asbab dinobatkan Anugerah Perdana Maulidur Rasul

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid & Siti Khadijah Jaafar

PUTRAJAYA: Sumbangan dalam menyampaikan dakwah silang budaya kepada masyarakat pelbagai etnik menjadi asbab Datu Kipli Yassin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1446H/2024H.

Kipli yang merupakan anak jati Kampung Selalang, Sarikei mula berkhidmat sebagai Mufti Sarawak sejak 1 Mac 2010 turut diiktiraf kerana memartabatkan nilai marhabah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat MADANI.

Mengulas mengenai pencapaiannya, Kipli berkata beliau memikul tugas yang sangat berat dalam menyampaikan dakwah di Sarawak yang masyarakatnya begitu majmuk dan memerlukan penjagaan sensitiviti yang tinggi.

“Tetapi bila kita ambil sifat Rasulullah SAW, menyampaikan fatwa dan dakwah itu sendiri supaya masyarakat faham sekali gus dapat menerima keputusan-keputusan fatwa itu sebagai suatu yang perlu dipatuhi.

“Keputusan seperti ini supaya orang bukan Islam juga memahami apa yang kita putuskan untuk orang Islam dan akhirnya mereka dapat menerima bahawa inilah yang merupakan kehidupan beragama yang ada sempadan masing-masing,” katanya ketika sidang media.

Kipli turut berkata buat dirinya, menyampaikan syariah Islam merupakan asas yang penting bagi mengelakkan umat Islam di Malaysia tidak terjebak dalam perkara yang boleh merosakkan akidah.

“Mudah-mudahan dengan sambutan Maulidur Rasul inilah kita dapat mengambil, menggali dan meneroka sirah Nabi Muhammad SAW yang sangat hebat dalam erti kata menampilkan keindahan Islam itu sendiri, Insya-Allah,” katanya.

Pada majlis sambutan itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Anugerah Perdana tersebut kepada Kipli.

Majlis yang berlangsung pagi tadi turut menyaksikan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1446H/2024 dikurniakan kepada Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia Datin Aminah Zakaria, Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah Datuk Ab Jamal Sakaran dan Pakar Mikrobiologi Datin Prof Dr Khatijah Mohamad Yusoff.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini