comscore
Tumpuan :
Baca Berita Challenge

Penyampai berita perlu mesra teknologi

Oleh: Najwa Azaha

PETALING JAYA: Seiring dengan peredaran zaman, landskap media penyiaran arus perdana turut melalui perubahan terutama berdepan kemajuan teknologi dan permintaan rakyat bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan pantas.

Apatah lagi, ‘penaklukan’ media sosial turut memberi impak dan cabaran kepada kerjaya sebagai penyampai berita.

Bagi penyampai berita TV3, Khairul Rizuan Azizan, berdepan dengan perkembangan teknologi tidak cukup dengan pengalaman semata-mata.

Sebaliknya individu yang menggalas tugasan di hadapan kamera ini turut perlu mesra teknologi supaya lebih dekat dengan orang ramai kerana sebahagian tanggungjawab mereka adalah menyampaikan maklumat secara berkesan.

“Penyampai berita perlu bijak dalam mencari kelainan terutamanya dari segi penyampaian dan mengawal situasi. Setiap daripada penyampai berita ada cara mereka tersendiri mahu ‘menjual diri’ selagi ia tidak memberi kesan negatif hingga menimbulkan prasangka buruk oleh masyarakat”

“Menggunakan media sosial adalah cara paling berkesan dalam mendekati orang ramai. Bukan sahaja kita dapat berkongsi maklumat bahkan interaksi juga. Itu yang membezakan penyampaian berita di televisyen dan media sosial,” kata anak kelahiran Grik, Perak ini.

Khairul mula aktif di TikTok sejak tahun lepas berpendapat cara itu bukan untuk mengejar populariti, tetapi lebih berkesan bagi mendekati golongan muda.

“Saya juga seorang wartawan, kedua-dua pengalaman yang saya ada ini akan dikongsikan dengan generasi muda terutamanya perkongsian maklumat yang sahih. Disebabkan ada interaksi jadi saya juga kadang-kadang belajar daripada mereka”

“Saya tahu saya masih banyak kekurangan. Saya hanya menjadi diri saya setiap kali bersiaran di televisyen atau di media sosial. Saya tidak pernah sesekali meletakkan ‘mindset’ atau perspektif masyarakat penyampai berita itu sifatnya eksklusif hingga ada yang memperlekehkan sesetengah kumpulan rakyat” katanya.

Khairul berpengalaman hampir 12 tahun bertugas sebagai wartawan penyiaran di bilik berita TV3 dan antara wajah bagi segmen Aduan Rakyat di Buletin Utama.

Sahut cabaran #BacaBeritaChallengeTV3 secara duet bersama Khairul di TikTok dan berpeluang memenangi hadiah serta dijemput ke Sri Pentas bagi merasai pengalaman menyampai berita secara profesional. Cara dan syarat penyertaan – KLIK DI SINI

Loading...
Terkini