Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terbuka untuk mempertimbang sebarang cadangan yang konstruktif bagi menangani isu penyalahgunaan logo halal di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, syor menaikkan jumlah denda bagaimanapun memerlukan perincian lanjut kerana dua kerangka perundangan semasa berkait isu halal sudah memperuntuk denda yang agak tinggi.
Jelas beliau, cadangan untuk menaikkan denda harus mengambil kira konteks dan jumlah kes yang terkait dengan pelanggaran perundangan.
“Saya fikir perkara ini perlu dipertimbang oleh semua pemegang taruh yang terlibat untuk menilai dan apa juga keputusan kita perlulah akhirnya menjurus kepada objektif menyelesaikan isu terkait,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Penutup Program Usahawan Muda Tahun 2024 Peringkat Kebangsaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.
Sementara itu, Armizan menegaskan bahawa pelanggaran isu halal adalah perkara yang tidak boleh dikompromi.
Sehubungan itu, KPDN sebagai agensi penguatkuasa komited untuk bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri dalam isu halal.
“Kita perlu tangani dan kita juga perlu fahami prosesnya. Sebarang syor dan pandangan konstruktif, kita terbuka untuk pertimbang bersama pihak-pihak lain,” katanya.
Dua undang-undang semasa berkait isu halal ialah Peraturan Perihal Dagangan Penandaan dan Perakuan Halal dan Perintah Perihal Dagangan Takrif Halal di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Berdasarkan Peraturan Perihal Dagangan Penandaan dan Perakuan Halal, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM200,000, manakala individu RM100,000 dan penjara setahun.
Sementara itu, mana-mana pihak yang melakukan representasi yang boleh mengelirukan umat Islam dalam konteks halal boleh didenda sehingga RM5,000,000 bagi syarikat dan bagi individu RM1,000,000 dengan penjara tiga tahun di bawah Perintah Perihal Dagangan Takrif Halal.
Semalam, media melaporkan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan, berkata KPDN bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) wajar mengkaji keperluan menaikkan jumlah denda bagi penyalahgunaan logo halal jika tindakan kesalahan itu semakin berleluasa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.