KUALA LUMPUR: Insiden penyalahgunaan logo dan sijil halal baru-baru ini membongkar kelemahan dalam ekosistem Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), membuka ruang kepada manipulasi pihak tidak bertanggungjawab, tegas Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).
Bendahari Agung FOMCA, Nur Asyikin Aminuddin, berkata hukuman yang rendah dan penguatkuasaan longgar mungkin menjadi penyebab utama masalah ini berulang.
“Ini menyebabkan pihak terbabit cuma pandang sebelah mata dan tidak khuatir dengan hukuman yang dikenakan. Justeru, hukuman perlu disemak semula supaya tiada siapa yang berani memandang rendah dengan hukuman yang dikenakan. Pemantauan pasaran juga perlu dipertingkatkan lagi supaya isu sama tidak akan berulang,” katanya memetik laporan BH.
Mengikut Akta Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, pertubuhan perbadanan yang menyalahgunakan logo halal boleh didenda hingga RM200,000 bagi kesalahan pertama dan RM500,000 untuk kesalahan berikutnya.
Individu pula boleh didenda sehingga RM100,000, dipenjara tiga tahun, atau kedua-duanya, dengan hukuman lebih berat bagi kesalahan berulang.
Insiden terkini melibatkan sandwic ‘ham and cheese’ yang dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya (UM).
Kelmarin, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan sandwic itu tidak memiliki sijil halal rasmi, malah pengeluar menggunakan sijil halal pihak lain.
Nur Asyikin turut menekankan keperluan memudahkan pengguna mengenal pasti status halal produk dengan segera.
“Pengguna memang boleh rujuk Portal Halal Malaysia atau aplikasi Verify Halal, tetapi jika logo ‘palsu’ tiada beza dengan logo halal rasmi, bagaimana kita nak tahu mana satu yang sah?
“Isunya, produk yang mempunyai logo halal pun kini menjadi bahan keraguan. Sehubungan itu, perkara ini perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya oleh pihak berwajib,” tambahnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.