Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Orang ramai diminta untuk tidak perlu bimbang berlebihan mengenai penyakit X yang masih tidak diketahui penyakit sebenar.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan bagaimanapun berkata, Malaysia tetap berwaspada terhadap kemungkinan ketimbulan penyakit berkenaan.
“Walaupun ia adalah penting untuk orang awam mendapatkan maklumat dan bersedia untuk menghadapi penyakit X, kebimbangan berlebihan adalah tidak diperlukan.
“Tahap kebimbangan boleh dikurangkan dengan sentiasa mengikuti garis panduan kesihatan, amalan kesihatan yang baik seperti bersenam, mengawal berat badan dan mengelakkan faktor risiko seperti merokok serta sentiasa mendapatkan maklumat terbaharu tentang perkembangan penyakit ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penyakit X adalah nama yang diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk sejenis patogen yang tidak diketahui dengan potensi untuk menyebabkan wabak di seluruh dunia.
Konsep penyakit X diperkenalkan WHO untuk mengalihkan tumpuan penyelidikan daripada strain virus individu kepada seluruh kelas virus untuk meningkatkan kesiapsiagaan dunia terhadap patogen yang tidak dijangka.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Radzi berkata, punca kemungkinan penyakit X termasuk transmisi zoonotik (dari haiwan kepada manusia) dan bakteria tahan antibiotik.
Antara faktor yang menyumbang kepada penyakit terbabit merangkumi perubahan ekologi, urbanisasi, perubahan iklim serta peningkatan interaksi antara manusia dan haiwan.
Menurutnya lagi, kebolehcegahan dan rawatan penyakit X belum dikenal pasti kerana sifat khusus penyakit itu masih tidak diketahui.
Namun, jelasnya, penyelidikan dan pembangunan pelbagai vaksin prototaip adalah penting untuk menghadapi kemungkinan wabak masa depan.
“Kami berkeyakinan bahawa kami boleh menanganinya dengan berkesan berdasarkan pengalaman wabak penyakit sebelum ini termasuk COVID-19, virus Nipah, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan MERS-CoV.
“Sistem kesihatan Malaysia juga sentiasa diperkukuh untuk tujuan ini. Selain itu, maklumat mengenai wabak penyakit sentiasa disampaikan secara terbuka,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, pakar kesihatan global menyuarakan kebimbangan ancaman pandemik besar daripada penyakit X yang berpotensi meragut 20 kali ganda lebih ramai atau kira-kira 50 juta nyawa berbanding COVID-19.