KUALA LUMPUR: Penutupan berkala laluan dan lencongan trafik akan dilaksana di Lebuhraya PLUS dan SPRINT bermula Khamis ini (18 Julai) hingga 31 Julai bagi memudahkan kerja-kerja berkaitan projek Transit Aliran Ringan (LRT) 3.
Kontraktor utama projek LRT3 iaitu Setia Utama LRT 3 Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa penutupan dan lencongan itu akan dilakukan pada Isnin hingga Sabtu dari 11 malam hingga 5 pagi.
Di Lebuhraya SPRINT, jalan susur ke Jalan Kayu Ara (arah Damansara), bertentangan Petronas NGV akan ditutup secara berkala.
Penutupan berkala laluan di Lebuhraya PLUS membabitkan pemandu kenderaan dari arah Damansara menghala Lebuhraya SPRINT dan Jalan Kayu Ara bermula dari Kedai Hardware ke jalan bertentangan dengan Petronas.
“Penutupan itu akan berlaku di lorong perlahan dan tengah atau lorong laju dengan hanya satu penutupan dilaksanakan pada satu-satu masa.
“Pengguna lebuh raya adalah dinasihatkan untuk mengikut papan tanda lencongan. Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku kepada orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai boleh menghubungi talian bantuan LRT3 di 1-800-18-2585 dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum, untuk pertanyaan. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.