comscore
Tumpuan :
Nasional

Penuntut UiTM maut nahas jalan raya

 

Foto ihsan IPD Maran

Oleh: Fazli Ahmad

MARAN: Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta di Jengka, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, siasatan awal mendapati nahas dipercayai berlaku setelah kereta dipandu wanita warga emas berusia 64 tahun, membelok ke kanan di simpang jalan tanpa memberi laluan kepada motosikal di jalan utama.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 malam ketika penunggang motosikal, Ahmad Imran Aiman Md Mubin, 23, dari UiTM Kampus Jengka menuju ke Pusat Bandar Jengka.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian penuntut UiTM terbabit menunggang di jalan lurus dan ketika tiba di tempat kejadian kereta dipandu warga emas terbabit membelok di simpang kanan ke jalan utama secara tiba-tiba dan dirempuh motosikal terbabit.” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, penuntut UiTM terbabit meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu kereta terbabit serta anak perempuannya penumpang depan berusia 24 tahun turut tercedera dan kini dirawat di Hospital Jengka.

Kejadian terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini