SUNGAI PETANI: Seorang penunggang maut selepas motosikal dinaikinya dirempuh sebuah kereta sehingga tercampak ke atas kereta lain di Kilometer 48.2 Jalan Alor Setar-Butterworth, di sini, malam tadi.
Dalam kemalangan pada jam 8 malam itu, mangsa wanita berusia 30-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku dalam hujan lebat membabitkan motosikal SYM Bonus dinaiki mangsa dengan kereta Proton Wira dan Honda City.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang berada di simpang mahu membelok ke kanan ke Taman Permai Pura, di sini.
Katanya, sebuah Proton Wira yang datang dari arah belakang tidak sempat membrek lalu merempuh belakang motosikal terbabit.
“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke hadapan sebelum terkena bahagian hadapan kereta Honda City yang berada di laluan bertentangan.
“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian pemandu Proton Wira berusia 24 tahun yang gagal menjaga jarak ketika mengekori kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.
Katanya, saringan ujian air kencing yang dilakukan terhadap pemandu terbabit didapati negatif dadah, namun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.