LANGKAWI: Kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori tanah di Jalan Chandek Kura di sini, petang semalam, menyebabkan seorang lelaki parah manakala anak saudaranya berusia 11 tahun maut.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada jam 5.16 petang.
“Nahas membabitkan penunggang motosikal Mohamad Iqmal Noor Din, 25, dari Kampung Padang Wahid dan anak saudaranya, Muhammad Wassim Dayyan Amyrul Amry, 11, dari Kampung Bukit Tangga, di sini.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila lori dari arah Jalan Batu Belah Batu Bertangkup keluar simpang untuk masuk ke Jalan Chandekura,” katanya dalam kenyataan di sini, pagi ini.
Shariman berkata, pada waktu sama motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Kuah menghala ke Kampung Chandek Kura tidak sempat mengelak sebelum melanggar tepi belakang sebelah kanan lori.
“Akibat perlanggaran itu penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan bahu masih dirawat, manakala pembonceng yang juga cedera parah di kepala meninggal dunia di Hospital Sultanah Maliha (HSM).
“Pemandu lori berusia 52 tahun telah ditahan dan ujian saringan air kencing mendapati positif dadah jenis ganja (THC),” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian.