Tumpuan :
Nasional

Penunggang motosikal maut tersepit bawah kereta

FOTO: Ihsan Bomba

KULAI: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain di KM41 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 petang, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Zuraidi Jamadi, 46, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda itu maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepalanya.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, terdahulu pihaknya menerima makluman dari Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai berkaitan kemalangan yang membabitkan tiga kenderaan iaitu motosikal mangsa, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dan sebuah kereta Perodua Myvi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal warga tempatan berusia 46 tahun yang melalui susur kiri Plaza Tol Sedenak itu tidak nampak Toyota Wish di hadapannya yang berhenti.

“MPV itu berhenti menyebabkan mangsa tidak sempat untuk mengelak lalu melanggar bahagian belakang Toyota Wish berkenaan.

“Akibatnya, penunggang motosikal hilang kawalan lalu melanggar pula Perodua Myvi yang berhenti di bahu jalan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tan berkata, mayat penunggang motosikal itu kemudian dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini, bagi tujuan bedah siasat.

Manakala, katanya, pemandu MPV lelaki tempatan berusia 47 tahun dan pemandu Perodua Myvi, seorang wanita tempatan berusia 34 tahun tidak cedera.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di a 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, PBK II Awang Ismail Awang Hanafi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.24 petang dan seramai tujuh anggota bomba berkejar ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).

“Setibanya di tempat kejadian, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati penunggang motosikal itu ditemui tersepit di bawah kereta akibat impak perlanggaran.

“Kita segera bertindak menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.

“Malangnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya yang kemudian menamatkan operasi pada jam 7.12 petang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini