comscore
Tumpuan :
Nasional

Penunggang motosikal maut terlanggar lori akibat hujan lebat

Anggota bomba mengeluarkan mayat penunggang motosikal yang terperosok di bawah lori dalam kemalangan di Kampung Kuala Roman, Sik – Foto ihsan Bomba

SIK: Seorang lelaki maut selepas motosikalnya terbabas lalu terlanggar bahagian hadapan sebuah lori di Kampung Kuala Roman, di sini, malam tadi.

Kemalangan berlaku ketika hujan lebat.

Mangsa, Muhammad Zulhelmi Mohd Nasirudin, 20, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, pihaknya mendapat laporan kemalangan itu pada jam 8.45 malam membabitkan sebuah motosikal jenis Honda RS X dan sebuah lori.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Kalai menghala Kampung Gajah Putih manakala lori terbabit dari Kampung Gajah Putih ke arah Jeniang.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal itu hilang kawalan akibat jalan yang basah disebabkan cuaca hujan lebat.

“Akibat daripada itu, motosikal mangsa terbabas dan memasuki laluan bertentangan dan terlanggar lori di bahagian hadapan sebelah kanan menyebabkan mangsa terperosok masuk di bawah lori berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, operasi mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah lori  menggunakan peralatan sistem beg udara.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori berusia 25 tahun tidak cedera.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sik dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Terkini