Tumpuan :
Nasional

Penunggang motosikal maut tercampak selepas bertembung pacuan empat roda

Nahas tiga kenderaan di KM 19 Jalan Karak-Kuala Pilah, dekat Bentong, hari ini, menyebabkan seorang penunggang motosikal tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian. – Foto ihsan polis

BENTONG: Seorang penunggang motosikal terbunuh akibat bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda (4WD) selepas memintas kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer (KM) 19 Jalan Karak-Kuala Pilah dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata nahas tiga kenderaan itu berlaku jam 3.20 petang.

“Siasatan awal polis berdasarkan kesan kerosakan kenderaan mendapati penunggang motosikal, S Vivakanandan, 33, dipercayai memintas sebuah MPV dipandu lelaki berusia 35 tahun.

“Tindakan itu (memintas kenderaan) menyebabkan penunggang motosikal berkenaan bertembung dengan 4WD dipandu seorang lelaki berusia 60 tahun lalu tercampak.

“Pemandu 4WD berkenaan gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar MPV berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, nahas menyebabkan penunggang motosikal maut di lokasi kejadian akibat cedera parah manakala dua pemandu lain tidak mengalami kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”jelasnya.

Loading...
Terkini