Tumpuan :
Nasional

Penunggang motosikal maut rempuh pikap rosak

Penunggang motosikal maut dipercayai merempuh pikap rosak yang berhenti di lorong kecemasan dekat Kilometer 291.1 (S) Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), di sini, malam tadi. – FOTO: Ihsan Polis

NILAI: Penunggang motosikal maut dipercayai selepas merempuh pikap yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 291.1 (S) Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), di sini, jam 9.40 malam tadi.

Seorang lagi rakan mangsa yang menunggang motosikal lain cedera selepas dikatakan cuba mengelak sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, berkata pemandu pikap dan anaknya cedera ringan selepas dikatakan turut dilanggar.

“Kemalangan membabitkan dua motosikal jenis Yamaha yang ditunggang dua lelaki berumur 21 dan 30-an dengan pikap jenis Mitsubishi dipandu seorang lelaki berumur 50-an.

“Pikap dinaiki bersama seorang wanita berumur lingkungan 50-an iaitu isteri pemandu dan seorang anak lelaki berumur lingkungan 30-an,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu pikap dikatakan berhenti di lorong kecemasan kerana kenderaan mereka dipercayai mengalami masalah enjin.

“Pada masa sama motosikal dari arah belakang tidak dapat mengelak lalu melanggar bahagian belakang bucu sebelah kanan pikap sebelum melanggar pemandu dan anaknya yang berada di luar kenderaan ketika itu.

“Sebuah lagi motosikal juga dikatakan cuba mengelak dan hilang kawalan lalu terjatuh,” katanya.

Akibat perlanggaran yang pertama, penunggang berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan maut di tempat kejadian.

“Penunggang kedua mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri dan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

“Kedua-dua penunggang motosikal adalah rakan sekerja dan sebelum kejadian mereka dalam perjalanan ke Senawang untuk menikmati makan malam. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Rosliza Mohd Ludin di talian 010-4554359 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini