MARANG: Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 23 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Kelulut, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Abdul Salim Mohamed Hashim, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Razman Setapa berkata, kemalangan membabitkan enam kenderaan iaitu dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR serta dua kereta Perodua Myvi, Proton Saga dan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa pacuan empat roda yang berada di sebuah kedai makan mengundurkan kenderaannya untuk keluar.
“Keadaan itu menyebabkan Proton Saga yang datang dari arah Dungun menghala ke Kuala Terengganu tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang pacuan empat roda itu.
“Akibat rempuhan itu, Proton Saga berkenaan terbabas memasuki laluan bertentangan lalu melanggar kedua-dua motosikal Yamaha Y15ZR dan dua kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan,”katanya.
Mohd Razman berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Manakala seorang lagi penunggang motosikal berusia 40 tahun dan wanita berusia 22 tahun yang juga pemandu kepada salah sebuah Perodua Myvi dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu tampil menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Syafiq Amsyar Zaharuddin di talian 09-6182222.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang juga meminta semua pengguna jalan raya supaya dapat mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas serta berhati-hati ketika memandu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.