TAMPIN: Seorang tukang masak yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu berkeliaran dekat Kilometer 43, Jalan Tampin- Gemas, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa parah di kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian.
“Mangsa lelaki warga Indonesia berumur 26 tahun menunggang motosikal Modenas Kriss yang bekerja sebagai tukang masak sebuah kedai makan di Sungai Kelamah.
“Siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, di sini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa dikatakan terlanggar seekor lembu yang berada di tengah jalan lalu hilang kawalan dan terbabas jatuh di atas jalan.
“Akibat kemalangan, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia ditempat kejadian.
“Mayat mangsa berada di Bahagian Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk hubungi Balai Polis Trafik Daerah Tampin di talian 064412502 atau hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor R Sritharan di talian 0174002611 bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan dibuka Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.