Tumpuan :
Nasional

Penunggang motosikal maut dirempuh SUV

Oleh: Fazli Ahmad

PEKAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 20, Jalan Pekan-Batu Balik, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin memaklumkan, kejadian berlaku sekitar jam 1 tengah hari apabila SUV yang dipandu seorang guru wanita berusia 36 tahun hilang kawalan setelah terlanggar objek di atas jalan.

Menurutnya, kenderaan itu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang Mohd Rizan Saari, 35, yang berasal dari FELDA Selancar.

Akibat pertembungan itu, Mohd Rizan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Ketika kejadian, SUV tersebut dalam perjalanan dari arah Batu Balik menuju ke Pekan. Pemandunya dilaporkan tidak cedera, namun dua anaknya yang berusia empat dan lapan tahun mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan media.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan kemalangan sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas dakwaan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini