Tumpuan :
Nasional

Penunggang motosikal maut akibat melanggar lembu lintas jalan

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai melanggar seekor lembu sedang melintas jalan.

Oleh: Fazli Ahmad

PEKAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar seekor lembu di Kilometer 10 Jalan Kuantan – Chini, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10:30 malam tadi ketika mangsa Muhammad Zulhijan Kafli, 29, dalam perjalanan dari arah Felda Chini Timur ke Felda Chini.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal di kawasan jalan lurus.

Katanya, mangsa dipercayai melanggar seekor lembu sedang melintas jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat.” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Bagaimanapun Mohd Zaidi berkata, lembu yang dilanggar motosikal terbabit tidak ditemui di lokasi kemalangan.

Katanya, kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini