Tumpuan :
Nasional

Penunggang motosikal juga perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan mereka – Pakar

Penganalisis automotif, Gan Yong Li

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA: Penunggang motosikal di lebuh raya juga berperanan menggalas tanggungjawab memastikan tahap keselamatan mereka di lebuh raya terjamin.

Meskipun pelbagai inisiatif telah diwujudkan dan ditambah baik oleh kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya, dengan penyediaan tempat berteduh kepada mereka bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini, namun penunggang juga wajar memainkan peranan bersama.

Penganalisis automotif Gan Yong Li ketika dihubungi BuletinTV3 berkata, walaupun tempat berteduh telah disediakan di lebuh raya, namun ada juga segelintir penunggang yang masih berdegil memilih untuk berlindung di tepi jalan utama dan tidak memasuki bahagian dalam jejambat yang lebih selamat sekaligus merisikokan nyawa mereka.

“Ada dua situasi mengapa mereka mengambil keputusan tidak masuk ke bahagian selamat, sama ada tempat itu terlalu kecil atau sudah penuh dengan penunggang yang lain.

“Kedua adalah kerana tindakan mereka yang malas untuk masuk ke bahagian dalam, jadi perkara ini boleh dikatakan tanggungjawab dua hala dan bukan setakat kepada penyedia konsesi itu sendiri yang menyediakan tempat lebih selesa dan selamat untuk mereka,” jelasnya.

Tambahnya menyifatkan usaha kerajaan menambah tempat berteduh adalah satu langkah yang pro aktif dalam meningkatkan tahap keselamatan pengguna.

“Ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik untuk pengguna motosikal berteduh kerana kebanyakan daripada mereka apabila kekurangan tempat berteduh, kebiasaannya untuk penunggang motorsikal, mereka akan berhenti di ‘fly over’ (jejambat) dan sudah semestinya boleh membahayakan mereka.

“Sebenarnya banyak kes-kes yang berlaku melibatkan kenderaan melanggar mereka yang berhenti di bawah ‘fly over’,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini tiada keperluan keselamatan lain perlu ditambah kerana sudah mencukupi.

Jelas Yong Li, walaupun penunggang tidak dikenakan bayaran tol, kerajaan perlu meneliti dan peka dengan keadaan lorong motosikal sedia ada yang menyebabkan ada beberapa penunggang tidak menggunakannya.

“Ramai yang tidak menggunakan lorong motosikal akibat daripada beberapa faktor antaranya adalah keadaan jalan yang tidak begitu memuaskan dan boleh mengakibatkan kemalangan.

“Dalam masa yang sama, berlaku juga sesetengah kes rompakan di dalam terowong dan sebagainya, ia membuatkan orang ramai tidak berani untuk menggunakan laluan itu dan sebaliknya mereka memilih untuk menggunakan laluan utama,” ujarnya.

Terdahulu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mengumumkan sebanyak 119 tempat berteduh penunggang motosikal akan dibina di lebuh raya seluruh negara di bawah Inisiatif Bitara Malaysia MADANI: Kementerian Kerja Raya dan membabitkan 33 syarikat konsesi sebagai keprihatinan kerajaan dan syarikat konsesi terhadap keselamatan pengguna jalan raya yang disifatkan berisiko tinggi.

Ia juga merupakan tambahan kepada 353 tempat berteduh motosikal yang sudah tersedia sebelum ini.

Sebanyak 40 tempat berteduh penunggang motosikal akan disiapkan secara berperingkat pada tahun ini, manakala selebihnya iaitu 79 dijangka siap menjelang suku kedua tahun
2024.

Loading...
Terkini