Tumpuan :
Nasional

Penunggang maut, motosikal sedang ditunda terbabas akibat hilang kawalan

Kemalangan membabitkan motosikal sedang ditunda, dengan penunggangnya cedera parah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital. – FOTO: Ihsan Polis

PASIR GUDANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya yang sedang ditunda sebuah motosikal lain akibat rosak, terbabas sebelum terbalik di Jalan Masai-Kong Kong, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu turut menyebabkan lelaki yang menunda motosikal mangsa cedera selepas kenderaan ditunggangnya turut terbalik.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan berlaku ketika motosikal jenis Honda Wave ditunggang lelaki berusia 36 tahun mengalami kerosakan.

“Motosikal mangsa kemudian ditunda dari belakang dengan cara ditolak menggunakan kaki kanan oleh lelaki berusia 52 tahun yang menunggang Yamaha 135 LC dari arah Masai ke Kong Kong.

“Setibanya di lokasi kejadian, kedua-duanya hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan.

“Penunggang Honda Wave terhantuk pada tiang lampu dan mengalami kecederaan parah pada kepala, manakala penunggang Yamaha 135 LC terjatuh di tepi bahu jalan namun hanya cedera ringan,” katanya.

Mohd Sohaimi berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk rawatan, namun penunggang Honda Wave disahkan meninggal dunia jam 3 petang semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini