comscore
Tumpuan :
Nasional

Penumpang tren ETS tarik brek kecemasan, tren terlewat tiba 2 jam

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengingatkan pengguna tren elektrik (ETS) supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu perkhidmatan pengangkutan itu ketika ia sedang beroperasi.

Amaran itu dikeluarkan susulan tindakan penumpang tren ETS yang menarik brek kecemasan dengan sengaja ketika ia sedang bergerak semalam.

Susulan insiden itu, tren terbabit mengalami kelewatan selama 120 minit.

“Insiden terbabit berlaku semalam, 12 Oktober sekitar jam 11.25 malam dan ia dilihat melalui rakaman litar tertutup (CCTV).

“Ia membabitkan tren ETS ES9052 yang sedang dalam perjalanan dari KL Sentral ke Ipoh. Tren itu berlepas dari KL Sentral pada jam 9.40 malam dan dijadualkan tiba di Ipoh jam 12.16 tengah malam.

“Bagaimanapun, berikutan insiden ini, tren tiba di Ipoh jam 2.00 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata pihaknya memandang serius insiden seperti itu.

“Kami sedang menyediakan laporan lengkap berkaitan insiden itu untuk diserahkan kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Pengguna tren yang didapati melanggar peraturan akan dikenakan tindakan tegas di bawah Seksyen 122, Akta 715, Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Menerusi akta itu, mana-mana orang yang menggunakan secara tidak wajar alat isyarat kecemasan disediakan pengendali berlesen dalam mana-mana koc atau tren kereta api bagi kegunaan penumpang untuk memberhentikan tren kereta api itu dalam hal kecemasan dikira melakukan kesalahan.

Penumpang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini