PASIR GUDANG: Penumpang Terminal Feri Pasir Gudang di Pelabuhan Johor di sini ke Batam, Indonesia, menarik nafas lega apabila operasinya disambung semula pada hari ini.
Seorang penumpang, Fati Jamal, 51, yang berasal dari Batu Agi, Batam, berkata dia bersyukur kerana operasi di terminal feri berkenaan diteruskan selepas lebih 20 tahun menggunakan perkhidmatan berkenaan.
Menurutnya, dia menggunakan perkhidmatan di terminal feri ini dua kali sebulan untuk menziarahi anaknya di Batam.
Katanya, walaupun ada terminal feri lain di daerah ini seperti di Terminal Feri Stulang Laut, Johor Bahru dan Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, Iskandar Puteri, dia lebih gemar menggunakan Terminal Feri Pasir Gudang.
“Saya tinggal di Ulu Tiram bersama suami yang merupakan rakyat tempatan merasakan kedudukan terminal ini lebih dekat, tidak sesak dan selesa,” katanya ketika ditemui di Terminal Feri Pasir Gudang di sini, hari ini.
Terdahulu Konsul Jenderal Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S Widiyanto melakukan lawatan di terminal berkenaan dengan diiringi Pengurus Besar Pasir Gudang Passenger Terminal Sdn Bhd, Mohd Tuah Mohd Amin.
Perkhidmatan feri terakhir di Terminal Feri Pasir Gudang dijadualkan tamat pada jam 5.30 petang semalam selepas beroperasi sejak 2001.
Penamatan operasi terminal feri itu bagi memberi ruang untuk merobohkan bangunan terminal tersebut sebelum tapak tanah itu dikosongkan dan diserahkan kepada Johor Port Berhad (JPB).
Bagaimanapun selepas perbincangan antara pihak pengurusan terminal berkenaan dan JPB bersama Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim semalam, kedua-dua pihak bersetuju meneruskan operasi.
Sementara itu, seorang pemandu teksi di terminal tersebut, Mohd Noh Yap Abdullah, 65, berkata, keputusan terbaharu itu menghilangkan kebimbangan 47 pemandu teksi yang beroperasi di situ.
“Di terminal ini mudah untuk mendapat pelanggan yang juga penumpang feri pada setiap hari.”Selain itu kewujudan terminal ini penting kerana mampu melonjakkan aktiviti pelancongan di Johor,” katanya.
Sementara itu, Mohd Tuah berkata, operasi di terminal tersebut beroperasi seperti biasa dan diharap orang ramai terus menggunakan perkhidmatan berkenaan dan memaklumkan tiada perubahan bagi jadual operasi feri.
“Selepas tersebar berita operasi di terminal ini dihentikan semalam, penumpang berkurangan pada hari ini.”Kita harap orang ramai ambil maklum operasi diteruskan.
“Terdapat empat perjalanan dari Pasir Gudang-Batam dan empat lagi perjalanan Batam-Pasir Gudang sehari. Kita menerima kira-kira 800 penumpang sehari iaitu 90 peratus daripadanya warga Indonesia yang mempunyai status penduduk tetap (PR),” katanya. – HARIAN METRO