Tumpuan :
Nasional

Penumpang kereta api Sabah cemas, lokomotif rempuh penghadang landasan  

KOTA KINABALU: Penumpang dan kakitangan Jabatan Kereta Api Negeri Sabah berdepan detik cemas selepas sebuah lokomotif merempuh penghadang di hujung landasan dan dinding pagar Stesen Sembulan, di sini, pagi tadi.

Kejadian yang berlaku jam 7 pagi itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya memaklumkan insiden berlaku membabitkan keretapi PU201 yang membawa penumpang dari Beaufort ke Sembulan, dengan formasi terdiri daripada sebuah lokomotif dan empat buah gerabak penumpang.

“Ketika menghampiri ke Stesen Sembulan, Jentera Lokomotif 7001 mengalami masalah teknikal, iaitu sistem angin mengalami kerosakan dengan tiba-tiba menyebabkan sistem brek Jentera Lokomotif 7001 tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Keadaan ini mengakibatkan jentera berkenaan merempuh penghadang (Bumper Stopper) di hujung landasan keretapi dan dinding pagar di Stesen Sembulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Empat gerabak ini sudah ditarik menggunakan lokomotif yang lain dan meneruskan perjalanan untuk perkhidmatan lain yang dijadualkan dan kejadian ini juga tidak menjejaskan perkhidmatan lain dalam jabatan.

“Kejadian bagaimanapun menyebabkan lokomotif 7001 terkeluar daripada landasan, serta mengalami kerosakan pada komponen bogie, sistem brek dan buffer, serta komponen lain yang akan dikenal pasti selepas pemeriksaan lanjut dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, kerja menaikkan lokomotif 7001, pembaikan penghadang dan rel yang putus, serta pembaikan dinding pagar stesen yang roboh akan dilaksanakan dalam kadar segera berpandukan peraturan-peraturan sedia ada.

Tambahnya, siasatan lanjut mengenai perkara ini juga akan dibuat bagi mengelakkan insiden yang sama berulang pada masa hadapan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini