comscore
Tumpuan :
Nasional

Penumpang bayar 50 sen bagi penggunaan ‘aerobridge’ bagi satu perjalanan – MOT

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan memaklumkan caj penggunaan jambatan udara atau ‘aerobridge’ ditetapkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) adalah RM85 bagi setiap tiga jam.

Kementerian itu berkata, sekiranya ia digunakan untuk pelepasan dan ketibaan bagi pesawat jenis Airbus A320 dengan jumlah penumpang 180 orang, kos dikenakan bagi setiap penumpang kira-kira 24 sen.

“Dalam hubungan ini, untuk satu perjalanan di dua lapangan terbang, jumlah yang perlu dibayar oleh setiap penumpang adalah dianggarkan 50 sen.

“MAHB menyediakan kemudahan jambatan udara di kebanyakan lapangan terbang di Malaysia dan sentiasa menggalakkan syarikat penerbangan menggunakan semua kemudahan disediakan di setiap lapangan terbang termasuk jambatan udara bagi memudahkan pergerakan penumpang terutamanya golongan warga emas, kanak-kanak, ibu mengandung dan orang kurang upaya (OKU).

“Walau bagaimanapun, syarikat penerbangan diberi pilihan sama ada mahu menggunakan kemudahan itu atau sebaliknya,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Henry Sum Agong (GPS-Lawas) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan sama ada kesemua penerbangan AirAsia dapat menggunakan ‘aerobridge’ yang disediakan di lapangan terbang. .

Kementerian Pengangkutan menjelaskan AirAsia, syarikat penerbangan tambang murah di serata dunia memilih menggunakan tangga daripada jambatan udara.

Menurut kementerian itu, ia selari dengan model perniagaan dan konsep penerbangan tambang murah dipraktikkan AirAsia.

“Namun begitu, AirAsia sentiasa menitik beratkan soal kecekapan dan keberkesanan sistem perkhidmatan penerbangan tambang murah tanpa menjejaskan kualiti servis dan mutu perkhidmatan.

“AirAsia beroperasi berdasarkan waktu pusingan 25 minit antara ketibaan dan pelepasan sesebuah pesawat. Ini bermakna sebaik sahaja pesawat mendarat, ia mempunyai tempoh masa hanya 25 minit sahaja untuk proses penumpang keluar dan seterusnya penumpang masuk dan bersedia untuk berlepas semula.

“Penggunaan tangga untuk menurunkan penumpang dan menaiki pesawat membolehkan kedua-dua pintu depan dan belakang digunakan serentak. Dalam hubungan ini, disiplin untuk terus mengekalkan tempoh di bawah paras 25 minit adalah sangat penting bagi AirAsia,” katanya.

Kementerian Pengangkutan turut menjelaskan penggunaan jambatan udara akan diberi keutamaan apabila berlakunya hujan, kes kecemasan dan penumpang berstatus OKU dengan mobiliti terhad.

Menurutnya, penumpang OKU boleh memaklumkan status mereka melalui sistem tempahan dalam talian atau melalui agensi pelancongan supaya AirAsia mempunyai masa mencukupi untuk membuat persediaan menggunakan jambatan udara dengan pihak lapangan terbang.

“Walau bagaimanapun, AirAsia memaklumkan pihaknya sentiasa memberi keutamaan terhadap keselamatan penumpang.

“Dalam hubungan ini, segala kesulitan yang dilalui oleh penumpang sentiasa diambil kira.

“Sekiranya terdapat keadaan cuaca yang buruk atau adanya tetamu OKU yang memerlukan perkhidmatan aerobridge, AirAsia akan memberi keutamaan tanpa sebarang kos tambahan kepada penumpang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini