comscore
Tumpuan :
Nasional

Penularan gambar mayat Zayn Rayyan: USJT ambil alih

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

SHAH ALAM: Siasatan berhubung isu penyebaran beberapa gambar dikatakan mayat kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial diserahkan kepada Bukit Aman.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan berkenaan akan diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Bahan bukti diviralkan siasatan itu diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman yang akan disiasat bawah seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi”

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini tular dua gambar memaparkan keadaan Zayn Rayyan selepas ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, dimuat naik di aplikasi Telegram, kelmarin.

Sebelum itu pernah tular kertas siasatan pembunuhan kanak-kanak berkenaan di aplikasi sama.

Pada 13 Jun lalu, ibu dan bapa Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Pada 6 Disember tahun lalu, mayat anak kandung mereka ditemui dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini