comscore
Tumpuan :
Nasional

Penubuhan Malaysia berdasarkan perlembagaan tidak wajar dipertikai – Wan Junaidi

Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Penubuhan Malaysia pada tahun 1963 berlandaskan dokumen-dokumen yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak seharusnya dipertikaikan, kata Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau menjelaskan bahawa dokumen-dokumen merangkumi Memorandum Jawatankuasa Perundingan Solidariti Malaysia, Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC Report), Akta Malaysia 1963 (UK), Akta Malaysia 1963 (Tanah Melayu), Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perjanjian tambahan kepada MA63, serta Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963.

“Dalam erti kata lain, dokumen-dokumen Perlembagaan ini merupakan roh dan semangat MA63,” ujarnya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Malaysia ke-61 dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata bahawa penggabungan tiga wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, dan Sabah melalui MA63 adalah asas penting yang telah membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih besar dan berkembang secara seimbang.

Katanya, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia juga telah memperkukuh penyatuan ketiga-tiga wilayah tersebut.

Malaysia, tambahnya, telah berkembang maju selama enam dekad, mengatasi pelbagai cabaran untuk menjadi sebuah negara yang berdiri megah di persada dunia, dengan perpaduan sebagai teras kepada kemajuan berterusan ini.

Beliau turut menyeru rakyat untuk memahami dan menghargai sejarah pembentukan Malaysia.

“Marilah kita bersama-sama menjunjung aspirasi Malaysia melalui fakta sejarah ini. Janganlah kita berbalah atau memecahbelahkan keharmonian yang telah lama terbina,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini