Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penternak terpaksa tidur di kandang, elak lembu dicuri

DUNGUN: Hampir 500 penternak lembu di Felda Gugusan Kerteh di sini bimbang apabila kejadian kehilangan ternakan mereka dipercayai dicuri dilihat semakin menjadi-jadi terutamanya menjelang musim perayaan.

Keadaan itu menyebabkan penternak terpaksa berjaga sehingga lewat malam, malah ada yang kerap tidur di kandang lembu sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut penternak, masalah sudah lama berlaku dan kembali aktif setiap kali tibanya musim perayaan sehingga menyebabkan mereka kerugian ribuan ringgit akibat kehilangan lembu korban yang sudah ditempah oleh pembeli.

Dianggarkan setiap hari ada saja penternak kehilangan antara seekor atau dua ekor lembu.

Malah ada penternak yang berputih mata apabila lembu sado bernilai 13 ribu ringgit hilang dicuri dalam kejadian minggu lalu di kawasan itu.

Dakwa penternak, kegiatan itu dipercayai dilakukan secara berkumpulan pada waktu awal pagi dengan menggunakan penyumpit yang diisi ubat pelali sebelum melarikannya ternakan itu dengan kenderaan.

Ada juga kejadian di mana pencuri melapah lembu di kandang milik penternak bagi mengambil daging dipercayai untuk dijual di pasaran terbuka.

Menurut seorang penternak, Mohd Alif Zulfikar Sutling, kejadian memang banyak berlaku sekarang, terutama Hari Raya Haji semakin dekat, memang banyak lembu yang hilang.”

Abdul Hamid Abdul Ghani turut menyuarakan kebimbangan kerana kejadian ini menyebabkan mereka hidup dalam ketakutan.

Justeru, mereka berharap pihak berkaitan dapat melakukan pemantauan yang lebih kerap dan mengesan sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan yang sering berlaku kecurian ternakan.

Loading...
Terkini