KUALA LUMPUR: Kerajaan Melaka mengambil inisiatif melaksanakan sistem digital bagi mengenal pasti pemilik haiwan ternakan yang berkeliaran di atas jalan raya.
Susulan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof, berkata semua penternak di negeri itu bakal diwajibkan mendaftar dalam sistem berkenaan dengan setiap haiwan ternakan mereka ‘dibekalkan’ kod QR.
Katanya, melalui kod QR berkenaan akan dinyatakan alamat pemilik haiwan ternakan terbabit untuk memudahkan tindakan penguatkuasaan undang-undang diambil jika haiwan berkeliaran.
“Inisiatif ini dilakukan melalui pewartaan terhadap undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mewajibkan setiap penternak berdaftar dengan sistem berkenaan.
“Ia dilakukan dengan kerjasama PBT di setiap daerah dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Setiap penternak diwajibkan berdaftar dalam tempoh tiga bulan dengan pihak PBT di daerah masing-masing. Bagi haiwan ternakan yang ditemui berkeliaran di atas jalan raya, ia akan ditangkap dan dilelong dalam tempoh dua minggu jika pemilik tidak membuat tuntutan,” katanya pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kerajaan Melaka, di sini, hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.