Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA LUMPUR: Tidak hadir kerja dua hari dipercayai menjadi punca seorang warga asing dipukul di sebuah pelantar ikan di Bagan Teochew, Pulau Ketam, Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, susulan insiden itu, pihaknya menahan seorang penternak ikan berusia 41 tahun kira-kira jam 5 petang, hari ini di Pulau Ketam.
“Pihak kami telah mengesan satu video di Facebook berdurasi 54 saat yang memaparkan seorang lelaki dewasa memukul dan menendang seorang lelaki di atas pelantar ikan di kawasan Bagan Teochew, Pulau Ketam, Klang.
“Bertindak atas maklumat, kami menahan suspek sekitar jam 5.00 petang, Jumaat di Pulau Ketam.
“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada 11 Januari sekitar jam 3.30 petang.
“Mangsa, seorang lelaki warga asing yang bekerja dengan suspek, didakwa tidak hadir bekerja selama dua hari.
“Pada hari kejadian, apabila mangsa kembali ke pelantar ikan, suspek bertindak menumbuk, menendang, dan mengugutnya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Setakat ini katanya, pihaknya masih berusaha mengesan mangsa bagi mendapatkan keterangan lanjut.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan dikenakan denda,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.