comscore
Tumpuan :
Nasional

Pensyarah UTHM dinobat Tokoh Pekerja Negara kategori OKU

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Tokoh Pekerja Negara (OKU) kepada Prof. Ts. Dr. Zaidi Embong pada sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini.- Foto: NSTP

PUTRAJAYA: Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Ts. Dr. Zaidi Embong yang menghidap penyakit jarang jumpa muscular dystrophy menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara bagi kategori orang kurang upaya (OKU) pada Sambutan Hari Pekerja 2024 di sini hari ini.

Zaidi, 52, yang berkerusi roda mendedikasikan hidup mendidik anak bangsa meskipun pergerakannya terbatas ekoran penyakit dihidapi sejak 20 tahun lepas.

Pensyarah di Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi itu sanggup berulang alik sejauh 140 kilometer dengan memandu sendiri kenderaan dari rumahnya di Ayer Hitam ke UTHM cawangan Pagoh, Johor setiap hari bagi menabur bakti.

“OKU ada kelebihan sendiri dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Contohnya kalau OKU itu boleh menyanyi tetapi tidak diberikan peluang, masyarakat keliling perlu peka dan bantu individu tersebut daripada pelbagai aspek.”

“OKU juga kena berani dan tingkatkan keyakinan diri, kalau tak pecahkan sifat malu itu, kita berdepan situasi malu bertanya, sesat jalan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis sambutan itu di sini, hari ini.

Zaidi merupakan antara 11 penerima anugerah sempena Sambutan Hari Pekerja 2024 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu penerima Anugerah Media (Individu) Mohd Alhafiz Ithnin dari Harian Metro berkata siri laporan yang dihasilkannya mengenai dasar satu peratus penjawat awam kategori OKU dalam perkhidmatan awam memberikan impak kepada banyak pihak sehingga topik berkenaan dibawa ke sidang Dewan Rakyat.

Wartawan Harian Metro, Mohd Alhafiz Ithnin memenangi Anugerah Media (Individu) pada sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya hari ini. Foto: NSTP

“Saya harap kerajaan dapat terus perjuangkan agar dasar itu dicapai seperti mana dibincang dalam parlimen,” katanya.

Sementara itu Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang menyifatkan Anugerah Kesatuan Sekerja Sektor Awam kepada kesatuan itu sebagai penghargaan terhadap perjuangan NUTP selama ini dalam menjaga kebajikan guru.

Beliau berkata pengiktirafan itu bertepatan dengan sambutan Jubli Emas NUTP tahun ini sekali gus memotivasikan kesatuan itu dalam memastikan aspek kesejahteraan guru sentiasa terjamin.

– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

Loading...
Terkini