BATU PAHAT: Seorang pensyarah sebuah universiti awam (UA) berputih mata apabila kerugian RM115,600 akibat diperdaya sindiket pekerjaan sambilan yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kes bermula pada 7 Mei lalu apabila mangsa, lelaki berusia 44 tahun tertarik dengan kerja sambilan yang ditawarkan kepadanya.
Beliau berkata, pada waktu itu, mangsa ditawarkan kerja, dengan mana suspek menjanjikan keuntungan sebanyak 15 peratus.
“Namun, suspek meletakkan syarat dengan mangsa diminta mendaftar dan membeli barangan melalui laman sesawang yang diberikan terlebih dahulu.
“Selepas membeli barangan, baharulah mangsa akan menerima keuntungan seperti mana dijanjikan suspek,” katanya menerusi siaran media.
Menurut Shahrulanuar lagi, bermula pada tarikh itu sehingga 30 September lalu, mangsa memasukkan wang ke dalam enam akaun berbeza secara berperingkat.
Jelasnya, sebaik memasukkan wang seperti diminta, mangsa mendapati laman sesawang diberikan suspek sudah tidak boleh diakses.
“Pada masa sama, mangsa tidak menerima pulangan wang seperti mana dijanjikan dan ketika itu, barulah mangsa menyedari dia telah ditipu.
“Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sri Gading, Khamis lalu untuk tindakan lanjut. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.