KUCHING: Dua terbunuh selepas kenderaan dipandu bertembung di Jalan FAC, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Mangsa, seorang lelaki berusia 33 tahun bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah dan seorang lagi wanita berusia 44 tahun, pensyarah di Politeknik Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti kedua-dua mangsa dan memaklumkan kes masih disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.08 tengah hari.
Menurutnya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan Perodua Bezza yang dipandu oleh seorang lelaki yang tersepit di tempat duduk pemandu.
“Sebuah lagi kereta iaitu Honda Jazz yang dipandu oleh seorang wanita. Namun wanita itu tidak tersepit ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi kejadian.
“Anggota bomba mengeluarkan mangsa pertama yang berada dalam kenderaan Honda Jazz pada jam 12:49 tengah hari.
“Anggota kemudian mengeluarkan mangsa kedua iaitu lelaki yang tersepit di tempat duduk pemandu pada jam 1.06 tengah hari.
Mayat kedua-dua mangsa diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya.