Tumpuan :
Nasional

Pensyarah ditimpa pokok kini ditidurkan di Hospital Kemaman

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Seorang wanita yang juga dipercayai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam tempatan, kini kritikal dan ditidurkan di Hospital Daerah Kemaman, selepas ditimpa pokok ketika masuk ke Bukit Kemuning.

Wanita itu dan tujuh lagi kakitangan universiti bersama-sama 57 pelajar, masuk ke Bukit Kemuning untuk membuat kajian geologi.

Ketika berada di bukit itu, pokok tiba-tiba tumbang dan menimpa mangsa.

Mangsa yang berusia 35 tahun berkenaan dilaporkan cedera parah di bahagian kepala.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 9.00 pagi tadi.

Bagaimanapun, pihak universiti membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Kijal.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Suprintenden Hanyan Ramlam dalam satu kenyataan media mengesahkan kejadian itu.

“Pada 25 November 2024, jam lebih kurang 11.56 pagi, Balai Polis Kijal telah menerima satu laporan polis mengenai kejadian seorang perempuan Melayu telah ditimpa pokok semasa membuat kajian di lapangan bersama-sama dengan tujuh kakitangan dan 57 pelajar dari universiti tempatan di Bukit Kemuning.

“Akibat daripada insiden itu, perempuan Melayu tersebut telah mengalami kecederaan parah.

“Orang ramai adalah diingatkan bahawa kawasan taman eko-rimba laluan pendakian dan aktiviti rekreasi di Hutan Simpanan Kekal Negeri Terengganu adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh musim tengkujuh,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini