KUALA LUMPUR: Penstriman langsung selama kira-kira satu jam setengah oleh guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh, malam ini, meraih lebih 21,000 komen warganet serta 222,000 tontonan.
Rata-rata warganet menyuarakan sokongan terhadap perjuangan Mohd Fadli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli yang lantang menyuarakan pelbagai isu terutama berkaitan sistem pendidikan, silibus subjek, beg berat, masa pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta bilangan murid di dalam kelas.
Warganet, Shaziela Abd Aziz, berharap penggubal dasar pendidikan negara selepas ini akan ‘celik mata’ dan mengambil kira saranan semua pihak, terutama pelaksana serta mereka yang berada di lapangan.
“Jangan hanya menggubal di atas meja semata-mata,” katanya.
Seorang lagi warganet, Zuryati Isa menyifatkan silibus sedia ada sebagai ‘agak mengarut’, malah mendakwa guru tertekan untuk menghabiskan pengajarannya sedangkan murid masih lemah dalam penguasaan membaca dan mengira.
Hasnawati Yahaya pula berpendapat Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) wajar dimansuhkan, sebaliknya meneruskan peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Saya suka ketika ada UPSR kerana boleh tahu tahap pembelajaran anak, dan ibu bapa faham kelemahan anak.
“Jadi yang betul-betul layak akan dapat masuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP),” katanya.
Terdahulu, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan memutuskan Cikgu Fadli tidak bersalah susulan pendedahan mengenai kepincangan silibus pendidikan negara.
Berdasarkan surat keputusan yang tular dalam laman sosial, petang tadi, beliau juga dibebaskan daripada tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Menurut surat berkenaan, guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak itu tidak akan dikenakan sebarang tindakan tatatertib oleh KPM.
Surat berkenaan ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.
Beberapa hari lalu, tular kisah Cikgu Fadli yang dikata bakal dikenakan tindakan, termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana mengkritik sistem pendidikan negara.
Sementara itu Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata keputusan bahawa Cikgu Fadli tidak bersalah itu menunjukkan KPM meraikan pandangan dan menilai semula tindakan sudah diambil.
“KPM jelas bersifat terbuka kepada setiap pandangan diberikan oleh guru. Justeru, tidak wajar menyatakan KPM hanya mendiamkan diri.
“KPM dilihat memikirkan penyelesaian terbaik dan pendekatan situasi menang-menang dilakukan,” katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, beliau menyarankan, KPM juga boleh menyemak semula akta sedia ada yang dilihat mengekang penjawat awam, supaya memberi ruang sepatutnya untuk mereka menyuarakan pandangan.
“Malah, boleh juga ditubuhkan Suruhanjaya Diraja Pendidikan untuk memastikan dasar pendidikan yang digubal tidak ada campur tangan politik,” katanya. – BERITA HARIAN