Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
REMBAU: Kementerian Perladangan dan Komoditi akan berusaha memastikan semua pemain industri termasuk pekebun kecil yang terlibat dalam industri minyak sawit memperoleh pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, mereka akan diberi latihan dan bimbingan untuk mengeluarkan minyak sawit yang mencapai piawaian bagi memenuhi permintaaan global terutamanya di Eropah.
“Jadi kalau macam orang hendak beli, negara luar hendak import kelapa sawit dia akan pilih Malaysia sebab bukan kita sahaja keluar, Indonesia pun ada keluar, Thailand pun ada keluar jadi dia akan cari kita cari Palm Oil daripada Malaysia dia akan dapat manfaat kepada kita apabila kita patuhi dari segi MSPO.”
Beliau berkata demikian selepas hadir majlis Perasmian Penutup Program Latihan Kenegaraan Kepimpinan Malaysia Madani Komuniti Kepimpinan Remaja Titiwangsa di sini hari ini.
Tambahnya pensijilan ini adalah langkah penting untuk memastikan produk sawit yang dieksport dari Malaysia merupakan sumber yang mengamalkan amalan pengeluaran mampan.
Ujar Johari, pematuhan kepada (MSPO) bukan sahaja akan meningkatkan reputasi Malaysia dalam pasaran global, tetapi juga akan membantu memelihara alam sekitar dan biodiversiti.
Beliau berkata, dengan pelaksanaan inisiatif terbabit mampu menjadikan Malaysia menjadi pemain utama dalam industri kelapa sawit.
Media sebelum ini melaporkan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyasarkan lebih 90 peratus pekebun kecil bebas akan mendapat (MSPO) menjelang akhir tahun depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.