comscore
Tumpuan :
Nasional

Pensijilan halal: Ramai usahawan masih bersikap ‘acuh tak acuh’

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan terus memberikan latihan dan peringatan kepada usahawan untuk mendapatkan pensijilan halal dalam usaha mengembangkan pasaran dalam bidang yang mereka ceburi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada data yang diperoleh, majoriti syarikat yang mendapatkan pensijilan halal adalah perniagaan yang dimiliki oleh usahawan bukan Melayu dan bukan Muslim.

Beliau menyifatkan keadaan itu berlaku kerana kos, selain kemahuan usahawan itu sendiri untuk mendapatkan pensijilan halal.

“Ia bermula dengan kemahuan usahawan-usahawan ini terutamanya produk-produk melibatkan makanan dan kosmetik, mereka rasakan ini adalah produk yang dikeluarkan daripada mereka jadi tidak perlu lagi dipersoalkan halal haram produk mereka.

“Kita akan terus berikan latihan demi latihan, dan peringatan tapi ia sebenarnya bermula dengan keinginan dalam kalangan usahawan untuk mendapatkan pensijilan halal.

“Kita juga kena siapkan mereka dalam platform ‘ready to halal’ sebelum mendapatkan sijil sebab ia melibatkan proses yang agak terperinci, bukan hanya melibatkan pembuatan, bahan-bahan yang diproses tetapi juga sumber makanan atau bahan, sampai ke tahap itu.

“Ini kadang-kadang menyebabkan usahawan malas atau tidak mahu terlibat kerana kerjanya banyak, tetapi kalau kita tidak sampai ke tahap itu, pensijilan kita menjadi agak rapuh, sebab itu pensijilan kita sangat dipandang tinggi oleh pasaran dunia,” katanya selepas perasmian SELBIZ 2024 di Setia City Convetion Centre (SCCC), Setia Alam, hari ini.

Beliau mengulas sikap segelintir usahawan yang tidak begitu mengambil berat dalam mendapatkan pensijilan halal ke atas operasi perniagaan mereka.

Ujarnya, dengan pensijilan halal, usahawan berpotensi meneroka pasaran dengan lebih luas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini