comscore
Tumpuan :
Nasional

Pensijilan Halal: Jemaah Menteri setuju kekal dasar sedia ada secara sukarela – TPM 

Oleh: Fareez Azman 

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri bersetuju mengekalkan dasar sedia ada bagi Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bersifat sukarela seperti dilaksanakan sejak tahun 1974.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan media sebentar tadi.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah membentangkan isu berkaitan pensijilan Halal Malaysia dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini 18 September 2024.

“Setelah dipertimbangkan, Jemaah Menteri bersetuju untuk mengekalkan dasar sedia ada iaitu permohonan Sijil Pengesahan Halal.

Malaysia (SPHM) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam (MAIN)/Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah bersifat sukarela sejak ianya mula dilaksanakan
pada tahun 1974 dan diperkukuhkan dengan Akta Perihal Dagangan 2011,” jelasnya.

Tambahnya, dasar sedia ada itu kekal dan terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia untuk mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.

Melalui SPHM yang diperolehi tersebut tambahnya lagi, akan memberi nilai tambah kepada pemegang SPHM atas komitmen yang tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal.

“Justeru, JAKIM menggesa pemain industri agar memohon SPHM memandangkan ianya boleh memberi jaminan dan menarik pelanggan beragama Islam untuk makan tanpa keraguan di premis berkenaan.

“Tambahan lagi, bagi menggalakkan pihak industri memohon SPHM khususnya dalam kalangan industri mikro dan kecil, pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi-agensi pembimbing usahawan di peringkat persekutuan, negeri dan swasta telah menawarkan pelbagai insentif dan inisiatif dalam bentuk latihan dan bimbingan serta geran kepada pihak industri untuk memastikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan boleh dipersijilkan halal,” katanya lagi.

Selain itu ujar Timbalan Perdana Menteri lagi, JAKIM juga telah memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia untuk mempercepatkan pengurusan pensijilan halal Malaysia dalam tempoh 30 hari.

Daripada usaha itu, statistik menunjukkan sebanyak 96 peratus permohonan berjaya diuruskan dalam tempoh 30 hari sepanjang Januari hingga Julai 2024.

Mengulas lanjut jelas Ahmad Zahid, JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIM) sentiasa komited untuk terus memperkemas polisi dan dasar sedia ada.

Ia bagi menambah baik pengurusan pensijilan halal dan sistem penyampaian perkhidmatan pensijilan halal dari semasa ke semasa agar pensijilan halal Malaysia terus diyakini dan kekal sebagai rujukan dunia.

“JAKIM akan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan kesedaran semua pihak tentang kepentingan serta kebaikan sijil halal Malaysia dalam industri makanan dan perniagaan.

“Dalam pada masa sama, JAKIM dan MAIN/JAIN juga akan bertindak tegas kepada individu atau mana-mana pihak yang cuba memalsukan SPHM demi memastikan kualiti dan standard pensijilan halal Malaysia sentiasa terpelihara.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited untuk terus memperkukuh pengurusan pensijilan halal Malaysia demi kepentingan dan kebaikan untuk negara,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini