comscore
Tumpuan :
Nasional

Pensijilan Halal: Draf laporan hampir siap, dibentang Rabu ini

Oleh: Siti Khadijah Jaafar & Rusyaidi Hafiz Syahid

PUTRAJAYA: Draf laporan berhubung kajian untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hampir siap untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri Rabu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bagaimanapun berkata, tindakan susulan berhubung perkara itu akan dilaksanakan sekiranya Kabinet bersetuju dengan pembentangan draf itu.

“Sekarang pensijilan halal tu adalah secara sukarela. Jadi kita nak tengok kemungkinan pensijilan halal ini diwajibkan sebab yang itu dia akan melalui proses yang panjang juga kan sebab itu saya sebut dalam konteks kita punya dasar.

“Kalau Kabinet bersetuju dengan cadangan tersebut dan kita akan mulakan kajian secara terperinci.

“Jadi cadangan awal yang memerlukan sesi libat urus maknanya nanti JAKIM akan panggil lah semua. Kalau ianya jadilah”, katanya.

Kajian yang akan dilakukan termasuk mengadakan sesi libat urus membabitkan pemegang taruh yang mana kesemua mereka akan diberikan nasihat dan penerangan.

Pihaknya juga akan mengemukakan draf sama kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk menentukan sama ada dasar mewajibkan pensijilan halal ini boleh dilakukan ataupun sebaliknya.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar mengarahkan Datuk Dr Mohd Na’im melakukan kajian dan menyediakan laporan lengkap berhubung isu pensijilan halal.

Isu itu menjadi polemik selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dilaporkan berkata, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini