
GEORGE TOWN: Mana-mana umat Islam yang sudah menonton konsert Festival Good Vibes 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, baru-baru ini dinasihat untuk memohon keampunan daripada Allah sebagai menzahirkan perasaan kesal walaupun mereka tidak dikira melakukan dosa.
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata ini susulan tindakan biadab vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy yang menunjukkan perlakuan kurang sopannya dalam konsert berkenaan, baru-baru ini.
Wan Salim berkata, agama Islam sama sekali tidak menentang hiburan termasuk konsert muzik, drama, filem dan seumpamanya.
Namun katanya, yang ditentang dan dilarang oleh Islam adalah hiburan dan semua aktiviti seni yang boleh merosakkan fikiran serta kelakuan penonton atau peminat.
“Sejarah tamadun Islam tidak pernah menyaksikan sebarang konflik antara agama dan kemajuan termasuk dalam bidang kesenian dan hiburan malah menyarankan semua pihak supaya sama-sama berusaha ke arah pembinaan masyarakat yang baik, adil dan bersih.
“Kelakuan tidak sopan yang dipamerkan vokalis kumpulan terbabit serta kritikannya terhadap undang-undang Malaysia menerusi konsert itu, maka jelaslah kumpulan The 1975 ini berniat serong terhadap negara Malaysia dan rakyat yang masih mendokong serta menghormati nilai akhlak murni.
“Jadi, mana-mana umat Islam yang sudah menonton konsert berkenaan dinasihati memohon keampunan daripada Allah SWT sebagai menzahirkan perasaan kesal walaupun mereka tidak dikira melakukan dosa kerana tidak menjangka tindakan itu akan dilakukan di hadapan mereka,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Wan Salim lagi, tidak wajar bagi sebuah negara yang ingin membangun dengan generasi penerus yang dinamik dan progresif, membawa masuk budaya luar sehingga merosakkan nilai moral yang amat diperlukan bagi pembangunan dan kemajuan.
“Penganjur festival juga sudah membuat akujanji akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap konsert berkenaan maka Kementerian Komunikasi dan Digital berhak membatalkannya dan tidak boleh dipersalahkan,” katanya lagi.
Terdahulu menerusi konsert pada Jumaat lalu, media melaporkan, Matty dilihat memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.
Malah, Matty juga membuat ucapan menghina undang-undang negara ibu berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sebelum bertindak mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di atas pentas.