Tumpuan :
Nasional

Penolong jurutera universiti awam ditahan salah guna kuasa

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Penolong jurutera di sebuah universiti awam di sini, ditahan semalam, kerana dipercayai menyalah guna kuasanya dalam sebuah projek binaan menaik taraf infrastruktur di institusi itu.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor berkata, suspek lelaki berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira 7 malam di Pejabat SPRM Johor.

Menurut sumber berkenaan, lelaki itu ditahan atas kesalahan salah guna kuasa menyebabkan universiti berkenaan menanggung kerugian.

“Suspek menggunakan kuasa dan kedudukannya sebagai wakil universiti bagi sebuah projek naik taraf infrastruktur dan sistem mekanikal, elektrikal serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bernilai lebih RM13 juta.

“Suspek dipercayai melupuskan sisa binaan projek berkenaan sehingga menyebabkan pihak universiti mengalami kerugian dianggarkan sehingga RM500,000,” kata sumber berkenaan.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 8.30 pagi ini bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini