Tumpuan :
Nasional

Penolong jurutera kanan didakwa 48 pertuduhan terima RM270,400

Mohd Farisyal Mohd Alias tidak mengaku bersalah atas tuduhan menerima barang atau harta berharga di Mahkamah Sesyen, Kuantan.

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Penolong jurutera kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Raub dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 48 pertuduhan menerima wang berjumlah RM270,400 daripada empat individu yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Bagaimanapun tertuduh Mohd Farisyal Mohd Alias, 46, mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan hakim Sazlina Safie.

Tertuduh didakwa menerima antara RM500 dan RM25,000 antara September 2019 dan Disember 2022 secara atas talian menerusi akaun sebuah bank di Raub.

Mengikut fakta pertuduhan, Mohd Farisyal melakukan kesalahan menerima benda berharga iaitu wang daripada empat indvidu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun dan denda bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuan Farhana Ahmad dan tertuduh diwakili peguam, Mohamed Falihin Kamil Mohamed Sazali.

Mahkamah menetapkan 17 April depan untuk sebutan semula kes.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM28,000 dengan seorang penjamin selain melapor diri di pejabat SPRM Raub setiap bulan hingga perbicaraan kes selesai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini