comscore
Tumpuan :
Nasional

Penjualan Data, Malaysia Berdepan Krisis Integriti, Rasuah

Penganalisis jenayah, Datuk Seri Akhbar Satar

PETALING JAYA: Malaysia berdepan krisis integriti dan rasuah sehingga berlakunya penyelewangan maklumat dan penjualan data peribadi.   

Penganalisis jenayah, Datuk Seri Akhbar Satar mendakwa penjualan dan penyelewengan maklumat ini dilakukan individu yang bekerja di syarikat perbankan, telekomunikasi dan kemungkinan besar jabatan kerajaan.

Tanpa disedari penyelewangan seperti ini memberi kesan teruk kepada imej negara. 

“Masyarakat kita berdepan krisis integriti. Dari segi rasuah dan menjual maklumat. Ini penyelewengan yang dilakukan masyarakat yang bekerja di bank, telekomunikasi dan kemungkinan besar jabatan kerajaan yang tiada integriti. 

“Mereka jual maklumat pada syarikat tertentu dan scammer kerana jumlah wang diterima lumayan,” katanya kepada TV3.

Menurut beliau, bukan sahaja warga emas yang sering menjadi mangsa malah terdapat golongan profesional menghadapi masalah sama.

Justeru beliau mencadangkan agar kerajaan menubuhkan agensi anti serangan siber sebagai langkah proaktif untuk mencegah masalah daripada terus berlarutan.

Langkah ini ujarnya telah dilaksanakan negara seperti Singapura dan Australia yang bertindak lebih cekap berbanding penjenayah siber.

Dua hari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata dakwaan penjualan 22.5 juta data peribadi rakyat Malaysia seperti yang tular menerusi media sosial disahkan bukan milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Loading...
Terkini