Oleh: Selwam Arjunan
BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang mempunyai 16 rekod jenayah lampau mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian di Machang Bubok, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam kejadian jam 12.35 pagi itu pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen Negeri mengesan suspek memandu kenderaan jenis Proton X70 di Jalan Machang Bubok menghala Sungai Lembu.
Pihak polis yang curiga dengan kenderaan itu mengarahkan suspek menghentikan kenderaan untuk melakukan pemeriksaan, namun lelaki terbabit enggan dan cuba meloloskan diri sebelum melepaskan tembakan ke arah anggota polis.
“Bagi tujuan mempertahankan diri dan menyekat suspek, anggota polis telah melepaskan tembakan pada kenderaan suspek, namun dia tetap cuba meloloskan diri sebelum kenderaannya terbabas selepas dikejar dalam jarak 200 meter.
“Suspek kemudiannya keluar dari kenderaan dan mengacukan pistol ke arah anggota polis, bagaimanpun anggota D9 bertindak pantas melepaskan tembakan menumpaskan penjenayah terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Tambah Datuk Khaw, semakan mendapati kenderaan yang dinaiki penjenayah berusia 44 tahun itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Malah kenderaan terbabit turut digunakan dalam dua kejadian samun yang berlaku di sebuah kedai nombor ramalan dan kedai serbaneka di daerah Seberang Perai Utara pada awal bulan ini.
Jelasnya, siasatan juga mendapati suspek melakukan jenayah samun secara solo dan menggunakan pistol bagi menakutkan mangsa sebelum membawa lari pelbagai barangan berharga.
“Kita percaya penjenayah ini seorang yang amat berbahaya kepada orang dan memiliki senjata api jenis pistol semi-auto yang kita rampas dalam kejadian ini.
“Mengikut rekod, suspek sebelum ini pernah melakukan kegiatan samun di Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur dan kita akan menyemak sama ada dia juga terlibat dengan kes aktiviti jenayah sama di negeri jiran seperti di Kedah dan Perak dengan menggunakan modus operandi yang sama,” katanya.
Suspek yang beralamat di Pulau Pinang memiliki 16 rekod jenayah lampau termasuk empat kes samun, kesalahan dadah, kes akta senjata serta bahan kakisan serta pernah dikenakan tindakan dibawah Ordinan Darurat (EO).