KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas RM700 kepada penjawat awam di negeri ini, sempena Aidilfitri yang bakal tiba.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata ia membabitkan peruntukan hampir RM9 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 12,000 penjawat awam, termasuk kakitangan kontrak di Terengganu.
Beliau berkata, pemberian bonus itu sebagai menghargai jasa dan komitmen mereka yang menggerakkan pentadbiran kerajaan.
“Kita menyedari semua kakitangan kerajaan telah berusaha bekerja dengan begitu keras sekali untuk mengembalikan ekonomi negeri dalam keadaan yang lebih baik.
“Alhamdulillah, kita merasa sangat gembira dengan pencapaian kita dan itu (pemberian bonus) sebagai sumbangan kerajaan negeri kepada mereka semua,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Prihatin Ramadan Daerah Kuala Nerus di Masjid Nur Bakti, Kampung Wakaf Tembesu, di sini, semalam.
Ahmad Samsuri berkata, pembayaran akan dibuat dalam masa terdekat sebelum sambutan Aidilfitri membabitkan semua kakitangan sama ada tetap atau kontrak.
Beliau berharap bantuan kewangan itu dapat meringankan beban penjawat awam di Terengganu dalam membuat persediaan untuk menyambut Aidilfitri.
Tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan bonus RM500 kepada penjawat awam di negeri itu.