PEKAN: Kerajaan perlu melihat terlebih dahulu Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dilaksanakan, sebelum menilai had umur persaraan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Setakat ni kita tengok dulu…masih belum memikirkan sebarang cadangan berkaitan umur persaraan, tumpuan kini lebih kepada SSPA terlebih dahulu dan minggu lalu penjawat awam telah menerima kenaikan gaji yang diharap.
“Saya dapati dalam sosial media penjawat awam begitu gembira menerima kenaikan gaji yang telah lama mereka ditunggu yang dapat meringankan beban masing-masing,” katanya ditemui pada Program Santuni Madani Kampung Tanjung Batu, Nenasi, di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Datuk Fadzillah Salleh dan Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli.
Sempena program berkenaan disampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 51 golongan asnaf setempat. Menerusi program Santuni Madani peruntukan RM38,000 dibawah Pembangunan Negeri Pahang bagi menyediakan empat kemudahan untuk penduduk Kampung Tanjung Batu.
Shamsul Azri berkata, penjawat awam yang menerima kenaikan gaji diingatkan supaya amalkan berjimat cermat, tidak terlalu boros dalam berbelanja. Sediakan kelengkapan persekolahan anak-anak menjelang penggal baharu tahun depan.
Sementara itu ditanya sama ada kerajaan akan memberi peluang kedua (seperti pelanjutan tempoh tandatangan) kepada mereka yang tidak menandatangani opsyen SSPA, beliau berkata, ketika ini kerajaan fokus kepada pelaksanaan fasa pertama SSPA itu.
Katanya, kelmarin Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menyatakan tiada peluang kedua atau tempoh tambahan akan diberikan kepada penjawat awam yang tidak menandatangani opsyen SSPA.
Tambahnya lagi, kerajaan telah memberikan satu tempoh yang wajar iaitu dari 21 Oktober hingga 30 November lepas bagi membuat pilihan sama ada memilih SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
“Dalam hal ini individu terbabit telah membuat pilihan mereka sendiri, tidak salah sesiapa kerana pilihan ditanggan pihak berkenaan. Mereka telah diberi masa panjang untuk berfikir selain disediakan penerangan.
“Itu pilihan dia…mereka sendiri buat pilih …mungkin salah dimata kita tapi dimata orang lain betul, ia terlalu subjektif. Kita tidak memaksa.
“Terdapat hanya 0.13 peratus atau 1,400 orang daripada 1.5 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen SSPA yang tamat pada 30 November lalu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.