comscore
Tumpuan :
Nasional

Penjawat awam diarah selesaikan program pembelajaran ‘AI untuk Rakyat’

FOTO: JPA/ Facebook

KUALA LUMPUR: Semua penjawat awam di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan diarah menyelesaikan program pembelajaran dalam talian ‘AI untuk Rakyat’.

Program berkenaan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai Kecerdasan Buatan.

Arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, melalui surat pekeliling bertarikh 17 Januari lalu yang dikongsi di Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini.

Surat pekeliling itu dihantar kepada Ketua Setiausaha semua kementerian, semua ketua jabatan peringkat persekutuan, setiausaha kerajaan negeri serta ketua badan berkanun di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan.

“Semua penjawat awam di kementerian/jabatan/agensi peringkat persekutuan, di negeri serta badan berkanun di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan dikehendaki menyelesaikan program pembelajaran ini untuk mendapatkan pengiktirafan ‘AI Aware dan AI Appreciate’.

“Ini bertujuan memastikan peningkatan kesedaran dalam kalangan penjawat awam mengenai penggunaan teknologi canggih.

“Penyertaan penjawat awam dalam program AI untuk Rakyat dilihat berupaya untuk meningkatkan pencapaian pelaksanaan inisiatif pendigitalan oleh kerajaan dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam pekeliling itu.

JPA tidak menetapkan tarikh akhir secara khusus bagi penjawat awam menyelesaikan program berkenaan.

Bagaimanapun, JPA mahu kemajuan mengenai penyertaan dalam program itu diserahkan kepada Kementerian Ekonomi.

Program AI Untuk Rakyat dilancarkan oleh Datuk Seri Anwar pada 16 Januari lalu, manakala program pembelajaran dalam talian itu adalah kerjasama antara MyDigital Corporation dan Intel Corporation.

Program itu boleh diakses melalui www.ai.gov.my yang disediakan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, dan Tamil dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu AI Aware dan AI Appreciate, yang boleh diselesaikan dalam masa kira-kira empat jam.

Ketika melancarkan program itu, Perdana Menteri memberi tempoh sehingga bulan depan kepada anggota Kabinet untuk mengemukakan laporan berkaitan dengan kemajuan peningkatan kesedaran dan literasi AI di kementerian masing-masing.

Loading...
Terkini