KAJANG: Kerajaan sedang dalam perancangan untuk membangunkan semula beberapa penjara lama, terutama yang sudah berusia lebih 100 tahun, dalam usaha membina persekitaran kerja kondusif untuk kakitangan Jabatan Penjara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata antara penjara dikenal pasti ialah Penjara Kamunting, Perak; Penjara Alor Setar, Kedah; Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan; dan Penjara Reman Pulau Pinang.
“Memang ada penjara yang usianya sudah ratusan tahun. Kita masukkan dalam perancangan untuk ia dibangunkan semula, dan perbincangan dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) sudah pun berjalan.
“Jika ada keupayaan dana, memang kita mahu menukarnya sekelip mata, namun kita harus realistik mengenainya. Ada keperluan dan kekangan dana tetapi perancangan harus dimulakan.
“Ia sudah dikenal pasti dan perancangan telah berjalan, malah kaedah pembiayaannya juga sudah ada,” katanya pada sidang media selepas melakukan rawatan rasmi ke Jabatan Penjara Malaysia, di sini, hari ini.