Tumpuan :
Nasional

Penjaja kasari petugas DBKL: 3 lelaki, seorang wanita ditahan

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan selepas menghalang pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang bertugas semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, penahanan susulan laporan polis diterima jam 5.59 petang daripada seorang wanita yang bertugas sebagai pegawai penguat kuasa DBKL.

Berdasarkan laporan, katanya pegawai terbabit memaklumkan kejadian itu berlaku ketika dia sedang bertugas mengalihkan ‘food truck’ yang menghalang lorong di Jalan Benteng kira-kira jam 11.30 pagi.

“Seorang wanita yang juga pemilik food truck menghalang tugas pengadu sehingga berlaku pergelutan antara mereka.

“Akibatnya, pengadu mengalami kecederaan dan luka akibat digigit. Wanita terbabit ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya melalui kenyataan malam ini.

Sulizmie berkata, seterusnya pada jam 10.08 malam polis menerima satu lagi laporan daripada pegawai penguat kuasa DBKL yang memaklumkan menerima maklumat mengenai kekecohan membabitkan petugas DBKL dengan beberapa penjaja di hadapan suatu premis perniagaan di Masjid India.

“Ketika melakukan penyuraian kekecohan, telah dirempuh secara kasar dan menyebabkan pengadu jatuh.

“Pihak polis dihubungi untuk tindakan dan tiga lelaki tempatan berusia 15 sehingga 39 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, seorang dari tiga tangkapan ini didapati mempunyai satu rekod lampau membabitkan kesalahan dadah.

“Kedua-dua insiden menghalang tugas penjawat awam ini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Reman untuk kes pertama melibatkan seorang wanita tempatan berusia 30 tahun dibenarkan selama dua hari sehingga esok.

“Sementara tangkapan tiga lelaki direman tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua anggota penguat kuasa DBKL diserang penjaja tidak berlesen di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, dalam dua kejadian berasingan semalam.

DBKL dalam kenyataan berkata dua laporan polis dibuat berhubung kejadian berkenaan kerana mendatangkan kecederaan kepada anggota penguat kuasa.

Loading...
Terkini