KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita peralatan penjaja yang dikesan menghalang laluan di sekitar Desa Pandan, Jalan Kg Pandan, Jalan Raja Muda Musa, Jalan Maktab dan Jalan Mayang Sari.
DBKL dalam kenyataan, berkata antara barangan yang disita adalah kerusi dan meja plastik, kanopi dan lain-lain peralatan yang diletakkan di pesiar kaki dan laluan awam.
“Hasil tindakan khas, empat premis terbabit dan seorang penjaja dikenakan tindakan pindah halangan dan sita serta-merta di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Kesemua barangan yang disita dan dipindah halangan dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya.
Menurut kenyataan itu, tindakan sita dan pindah barangan itu diambil sebagai respons kepada aduan awam yang diterima dan untuk memastikan kawasan awam di sekitar kawasan Parlimen Titiwangsasentiasa teratur dan selamat.
“DBKL menegaskan bahawa semua penjaja mesti mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
“Tindakan dan pemantauan berterusan akan dijalankan menerusi siri-siri tindakan khas di 11 parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.