KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggempur kawasan penjaja di sekitar Kampung Baru bagi menangani isu peniaga menghalang laluan, di sini, semalam.
DBKL dalam satu hantaran di Facebook berkata, sebanyak 22 tindakan sitaan dan pindah halangan dilaksanakan mengikut Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit Bangunan 1974 dan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja (WPKL) 2016.
“Tindakan ini diambil sebagai respons kepada aduan awam yang diterima dan untuk memastikan kawasan awam sentiasa teratur dan selamat.
“DBKL menegaskan bahawa semua peniaga dan penjaja mesti mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
“Antara barangan yang disita adalah kerusi/meja plastik, kanopi,tong gas, gerai besi beroda dan lain-lain peralatan yang diletakkan di pesiar kaki dan laluan awam,” kata hantaran itu hari ini.
Dalam hantaran sama DBKL berkata, semua barangan disita di bawa ke Stor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja di sini bagi proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
DBKL berkata, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menjamin keselesaan warga kota dan, pengunjung serta pelancong.
Sebarang aduan boleh disalurkan ke pautan https://adukl.dbkl.gov.my/.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.