Tumpuan :
Nasional

Penipuan pelaburan Tiktok: Pekerja swasta paling ramai terpedaya

Oleh: Izzatie Rizan

KUALA LUMPUR: Polis mendedahkan golongan pekerja swasta dikesan paling ramai menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan di TikTok.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, pekerja swasta merekodkan peratusan tertinggi iaitu 54.2 peratus melalui dapatan pihaknya.

“Golongan tidak bekerja pula merekodkan kedudukan kedua mudah terpedaya iaitu sebanyak 16.8 peratus, diikuti pesara 9.9 peratus, penjawat awam 7.6 peratus, peniaga 6.9 peratus serta pelajar 4.6 peratus,” katanya dalam sidang media di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini hari ini.

Menurutnya, laporan juga menunjukkan kes penipuan pelaburan melalui aplikasi TikTok melonjak 90.7 peratus sejak 2021 hingga Oktober lalu.

“Tahun ini sahaja merekodkan 131 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu.

“Hasil analisa juga mendapati golongan berusia 31 hingga 40 tahun menjadi mangsa utama 23 peratus, diikuti mereka berusia 21 hingga 30 tahun 21.4 peratus.

“Manakala pecahan jantina bagi mangsa adalah hampir sekata iaitu melibatkan 66 mangsa wanita dan 65 lelaki,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, media sosial memberi kelebihan kepada penjenayah menyembunyikan identiti mereka sambil memperdaya mangsa ditambahkan lagi kecanggihan teknologi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI).

“Penyagak skim pelaburan palsu ini dengan mudah mewujudkan pelbagai iklan pelaburan menggunakan gambar dan video individu-individu berpengaruh semata, mata menipu mangsa.

“Maka pendekatan terbaik adalah berhenti percaya kepada apa juga iklan pelaburan melalui media sosial,” tegasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini